Dahliati Tunaikan Impian Zaiton Sameon Dengan Single Baharu Bakal Hadir Selepas Raya
Dahliati Tunaikan Impian Zaiton Sameon Dengan Single Baharu Bakal Hadir Selepas Raya

Penyanyi legenda yang popular dengan lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar ini, Zaiton Sameon yang berhasrat menghasilkan single baru yang bakal hadir selepas raya ini.


Zaiton Sameon yang juga merupakan Penyanyi Wanita Popular pada edisi pertama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1987, bertuah kerana impiannya ini bakal direalisasikan pemilik I’Dahlia Corner, Dahliati Aliruddin yang berhasrat menaja pembikinan lagu singlenya, Reda. Reda merupakan ciptaan komposer terkenal A.Ali dan penulis lirik, Habsah Hassan yang sudah empat tahun terbengkalai pembikinannya.


Berita gembira ini diumumkan Dahliati ketika majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan daripada pihak I’Dahlia Corner kepada Zaiton Sameon dan 50 anak-anak yatim dari Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Keramat.


I’Dahlia Corner yang terletak di Persiaran Stonor ini menampilkan juadah berbuka puasa yang kaya dengan cita rasa minang dan Melayu auntentik. Antara menu yang mendapat tempat di hati pelanggan ialah Sup Tulang Meletops, Rendang Minang Dahlia Meletops, Lemak Siput Sedut Meletops.



Menu-menu ini menjadi pilihan utama pengunjung kerana keenakan dan keunikan rasa asli dalam setiap masakan yang dihidangkan. Restoran yang terletak di tengah-tengah bandar ini telah 10 tahun beroperasi dan dibuka setiap hari Isnin hingga sabtu dari jam 7 pagi hingga 2 pagi.


“Saya bersyukur sangat-sangat kerana sebelum `tutup mata’ ada juga orang yang nak taja single baru saya, Reda. Lagu ini merupakan lagu terakhir komposer A.Ali sebelum dia meninggal dunia. Waktu dapat single itu, muziknya kosong berserta lirik nukilan Habsah Hassan. Tak lama kemudian A.Ali meninggal dan lagu tersebut tak sempat dirakamkan.

“Selepas tu, adik angkat saya, Wafa mengubah sedikit muziknya untuk memberi lebih `touching’ pada lagu tersebut. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada penyanyi Elveena Iris yang tolong saya dapatkan tajaan sebanyak 12k untuk buat single Reda yang akan diterbitkan komposer Bell Fatah.


“Lagu ini cukup `touching’ sebab senikatanya menggambarkan perasaan saya yang merindukan arwah anak tunggal saya, Allahyarham Azirwan Abu Bakar yang sudah 35 tahun meninggal dunia dalam nahas di Batang kali, Selangor pada 21 Februari 1990,” katanya mengenai video klip lagu tersebut yang turut ditaja Bob.


Majlis turut dihadiri Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM), Datuk Sri Nor Hasnal Hashmi bersama timbalannya, Datuk Shahzelan. Di majis itu tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan bertenaga Datin Ramziela, Elveena Irisa, Zur Eda dan Azura bersama suaminya Chebb.


Sementara itu menurut Pemilik I’Dahlia Corner, Dahliati Aliruddin pula, majlis ini diadakan sempena meraikan anak-anak yatim dan beri sumbangan pada Zaiton Sameon.
“Saya dengar Zaiton ada cakap nak rekod satu lagu sebelum menutup mata. Hati saya cukup tersentuh bila mendengarnya dan itu buat saya berniat nak sampaikan niat Zaiton tu kerana apa salahnya berkongsi rezeki. Lagipun saya ni memang peminat tegar dia. Bila ke karaoke saya suka menyanyikan lagu Menaruh Harapan.
“Kalau tak ada halangan, selepas raya kami akan mulakan rakaman single ini. Selain Zaiton, saya juga pernah artis seperti Tok Ki dengan memberinya peluang menyanyi setiap malam di restoran saya ini.”

Mengulas mengenai produk barunya sambal bilis petai, tambah Zaiton lagi, selain rendang daging kini dia juga menjual sambal bilis petai.
“Selalunya saya dan anak angkat saya, Che Sikah Ismail, akan masak dua kuali sekaligus. Sekali masak boleh dapat 300 pek dimana setiap pek kami buat sebanyak 300 gm ada harga RM29.00. Mungkin orang kata mahal sedangkan sambal ini kami ambil masa selama 4 jam untuk memasaknya.

“Resepi ini tinggalan arwah ibu saya Kamariah Abdul Manap, orang Rembau. Hingga sekarang saya masih ingat cara memasaknya dan itu sebabnya saya jual sambal ini sebagai kenangan untuk arwah ibu saya. Lagipun orang Melayu memang suka sambal-sambal tambah pula diletakkan petai. Itu yang buat saya terpanggil nak jual sambal bilis petai dan sesuai pula dimakan pada bulan puasa ini,’’ katanya yang menjualnya di platform Tik Tok.
Ujar Zaiton lagi yang turut menjual wangian menggunakan namanya,“Bulan puasa banyak betul permintaan. Tak sampai dua minggu sambal bilis petai saya habis. Itu belum lagi permintaan peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei.”