Insaf Malaysia Lancar Tabung Beras Amal "Sekampit Beras Satu Keluarga" Sempena Ramadan
Insaf Malaysia Lancar Tabung Beras Amal "Sekampit Beras Satu Keluarga" Sempena Ramadan

Tinggal hanya seminggu lagi untuk umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia akan menyambut bulan Ramadan yang mulia serta penuh keberkatan. Bagaimanapun tidak semua daripada kita mampu meraikan Ramadan dengan sempurna oleh kerana hidup dalam serba kekurangan akibat kekangan kewangan. Untuk itu, Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia) yang sinonim dengan kerjakerja amal, mengambil inisiatif melancarkan Tabung Beras Amal "Sekampit Beras Satu Keluarga" untuk menggalakkan masyarakat menyumbang.
Program Tabung Beras Amal "Sekampit Beras Satu Keluarga" dilancarkan pada hari ini, bertempat di Lobi Utama, busanamall@menara mara dari jam 2 petang sehingga 10 malam. Ia turut mendapat kerjasama dari Busana Mall, IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), busker dari MYBC dan artis Anggun Music Production yang tampil memeriahkan suasana sepanjang program berlangsung.

Pengasas dan Presidennya, Ishak Abdul Kadir berkata, objektif utama program ini ialah mengumpul dana untuk program "Sekampit Beras Satu Keluarga" yang kembali diadakan pada tahun ini. "Beberapa tahun terakhir sebelum Pandemik Covid-19, Insaf Malaysia berjaya mengumpul 15 tan beras. Apabila terjadinya Pandemik, kami sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan terpaksa berhenti. "Kami sebenarnya bercadang nak mulakan semula tahun lepas tetapi kena menunggu lagi sebab arahan masa Pandemik tidak membenarkan buat benda-benda itu.
"Namun saya buat juga tahun lepas secara kecil-kecilan dan tahun ini barulah secara besar-besaran untuk semua masyarakat menyumbang," katanya. Menurutnya, Tabung sumbangan dibuka bermula hari ini dan akan berterusan sehingga masuk bulan Syawal nanti. "Saya berharap tabung dana ini dapat kumpul seberapa banyak yang boleh kerana akan dibuka lebih sebulan. "Menerusi program ini, kami akan memberikan sekampit beras untuk satu keluarga asnaf, keluarga b40, rumah-rumah anak yatim, warga emas, mualaf dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Selain itu, beras-beras ini turut akan digunakan untuk program Foodbank dan Dapur Insaf Malaysia bagi penyediaan makanan berbuka puasa dan bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan," katanya. Insaf Malaysia juga mempermudahkan urusan penyumbang dengan memperkenalkan pindahan wang menerusi QR Code akaun Maybank Insaf Malaysia (562188306090).
"Saya harap masyarakat akan terus menyokong program-program kami. Apa yang dilakukan adalah bertujuan mengurangkan bebanan terhadap golongan-golongan yang memerlukan.Kelebihan bulan Ramadan ialah kita digalakkan melakukan amal kebaikan dan bersedekah terutama kepada golongan yang disebutkan tadi," katanya. Untuk rekod, menerusi data terkumpul, Insaf Malaysia yang berusia 16 tahun sudah membantu lebih 431 rumah kebajikan serta lebih 1309 murid-murid sekolah.