Terkini | New

Kerajaan Madani Umum Dana Rm1.5 Bilion Untuk Mempercepatkan Pendigitalan Pmks Seluruh Negara

Kerajaan Madani Umum Dana Rm1.5 Bilion Untuk Mempercepatkan Pendigitalan Pmks Seluruh Negara



Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), bersama rakan pelaksana hari ini mengumumkan peruntukan dana kumulatif berjumlah kira-kira RM1.5 bilion bagi menyokong inisiatif mendigitalkan perniagaan di seluruh negara.

Dana ini diwujudkan melalui kerjasama strategik awam-swasta melibatkan agensi kerajaan dan rakan sokongan termasuk institusi kewangan, bank digital, platform pembiayaan Peer-to-Peer (P2P) serta penyedia perkhidmatan tempatan. Ia bertujuan untuk menyediakan penyelesaian digital bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di samping menawarkan kemudahan pembiayaan digital yang menyokong keperluan operasi harian komuniti ini.

Berucap semasa majlis Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI) hari ini, Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo berkata, program ini merupakan satu inisiatif transformasi digital berteraskan rakyat oleh Kerajaan MADANI, yang bertujuan untuk memperkasa PMKS melalui penyelesaian teknologi inovatif, demi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh negara untuk memastikan PMKS memiliki akses kepada penyelesaian digital, peluang pembiayaan dan bimbingan pakar bagi memperkukuhkan daya saing mereka dalam lanskap ekonomi digital yang pantas berubah. Melalui BDI, Kerajaan MADANI mempercepatkan penerimagunaan teknologi digital dalam kalangan PMKS, sambil memacu pertumbuhan inklusif yang membolehkan semua perniagaan, tidak mengira saiz, berkembang maju untuk jangka masa panjang," tambah Gobind.

Majlis hari ini turut menyaksikan pemeteraian pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDEC dan SME Corp Malaysia, institusi kewangan, bank digital, platform P2P serta penyedia perkhidmatan tempatan, bagi memastikan PMKS menerima sokongan menyeluruh dalam aspek pembiayaan, akses kepada alatan digital dan pembangunan kapasiti untuk beralih ke arah ekonomi digital dengan lebih berjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, inisiatif ini disasarkan untuk menaik taraf PMKS melalui peningkatan daya tahan, daya saing serta mempersiapkan pertumbuhan mampan mereka dengan penerimaguaan teknologi digital yang bermanfaat.

"Inisiatif ini menyasarkan cabaran sebenar yang dihadapi oleh PMKS — sama ada kekurangan kemahiran, alat, pembiayaan atau kekeliruan tentang cara memulakan proses digital - menyediakan penyelesaian bersasar, praktikal serta relevan mengikut keperluan operasi dan matlamat perniagaan mereka," kata Anuar.

“Pendekatan kami merangkumi bantuan yang disesuaikan, kerjasama strategik, akses kepada pembiayaan, serta penyelesaian e-invois berpatutan atau percuma (freemium) berasaskan rangka kerja Peppol, yang menjadikan pendigitalan lebih mudah dicapai sambil menggalakkan PMKS untuk berkembang di pasaran tempatan dan global.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal bin Dato’ Nainy, berkata: “Kerjasama antara SME Corp. Malaysia dan MDEC bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pendigitalan dalam kalangan PMKS melalui inisiatif transformasi digital yang direka secara kolaboratif. Peranan kami di SME Corp.

Malaysia adalah untuk memastikan PMKS tidak ketinggalan dalam dunia ekonomi digital. Dengan menjalinkan kerjasama bersama MDEC, kami mewujudkan ekosistem yang lebih bersepadu dan bersasar bagi menangani cabaran dihadapi oleh PMKS.” Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, 21 Penyedia Perkhidmatan e-Invois yang diiktiraf oleh MDEC akan menawarkan penyelesaian e-invois secara freemium dan berpatutan untuk PMKS.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital YBhg. Fabian Bigar, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal bin Dato’ Nainy, serta barisan pemimpin industri.