Terkini | New

Prubsn Raikan Aidilfitri Dengan Menghayati Semangat Ta’awun Bersama 600 Sukarelawan.

Prubsn Raikan Aidilfitri Dengan Menghayati Semangat Ta’awun Bersama 600 Sukarelawan.

Satu Dekad Memperkasakan Kehidupan Untuk Lebih 200,000 Komuniti Kurang Bernasib Baik Bersama PruBSN Prihatin


Aidilfitri adalah lebih daripada sekadar sambutan perayaan. Ia merupakan masa untuk kita bermuhasabah, melahirkan rasa syukur, dan yang paling utama, meraikan kebersamaan. Bersempena dengan musim perayaan ini,.Prudential BSN Takaful Berhad (“PruBSN”) mengajak rakyat Malaysia untuk menghayati erti sebenar Ta’awun (pertolongan bersama), yang menjadi prinsip teras kepada perniagaan dan operasi Takaful. Dengan tujuan untuk menyatukan orang ramai melalui sumbangan, PruBSN menggerakkan 600 sukarelawan, termasuk Perunding Takaful dan kakitangan, untuk turun padang bersama komuniti tempatan di seluruh Malaysia, dari utara hingga Malaysia Timur sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.



Berdasarkan komitmen kami terhadap kelestarian, kempen Ramadan dan Aidilfitri PruBSN menumpukan kepada penyediaan perlindungan kesihatan dan kewangan yang mudah dan boleh diakses, mempromosikan pelaburan bertanggungjawab yang selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), serta menggalakkan amalan yang memberikan kesan minimum terhadap alam sekitar di samping mengetengahkan tanggungjawab sosial. Secara keseluruhan, aktiviti di seluruh negara ini adalah sejajar dengan komitmen PruBSN terhadap kelestarian, dalam memupuk impak sosial dan keterangkuman kewangan.




Bertemakan “Ukhuwah Berkawah” yang menjadi nadi kepada inisiatif tahun ini, diilhamkan oleh tradisi yang telah lama menjadi simbol kesatuan iaitu memasak bersama dalam kawah (periuk besar). Dari mendapatkan bahan-bahan hingga menyediakan dan.menghidangkan makanan, proses ini melambangkan usaha kolektif, mencerminkan kepentingan usaha murni dan tanggungjawab bersama. Oleh itu, dengan kerjasama pelbagai entiti termasuk Yayasan MyPrihatin (YMP), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Waqaf An-Nur, sukarelawan PruBSN
menyediakan dan mengedarkan 10,000 pek bubur lambuk dan gulai kawah ke pelbagai lokasi, termasuk masjid, kawasan perumahan, dan institusi pengajian tinggi di Terengganu, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Sabah, dan Sarawak.




Turut memberikan impak kepada inisiatif ini, selebriti dan pempengaruh tempatan seperti Hawa Rizwana dan Aiman Salim turut serta berganding bahu bersama PruBSN, manakala
Ustaz Haris Ismail (PU Riz) berkongsi refleksi mengenai nilai Ta’awun dan keindahan memberi melalui platform digital. PruBSN juga menghasilkan video naratif khas Aidilfitri, “Raya Ini Kuali-lah”, yang menyampaikan mesej bahawa setiap orang mempunyai peranan dalam menyumbang kembali kepada masyarakat, Diceritakan dari perspektif sebuah kuali.yang rendah hati dan sering diabaikan, kisah ini menjadi peringatan yang memberi inspirasi bahawa setiap sumbangan, tidak kira sekecil mana pun, mempunyai impak yang bermakna.



Selain daripada program bersama komuniti, PruBSN turut memperkenalkan edisi eksklusif sampul duit raya mesra alam yang diperbuat daripada kertas yang diperakui oleh Forest Stewardship Council (FSC). Inisiatif ini selaras dengan komitmen berterusan PruBSN terhadap kelestarian alam sekitar, menekankan penggunaan sumber yang bertanggungjawab dan penjagaan alam sekitar. Direka oleh seorang artis tempatan, karya seni dari paket duit raya tersebut menceritakan kisah Ukhuwah Berkawah, menggambarkan keharmonian dan kesatuan yang terjalin melalui aktiviti memasak bersama.


Tahun ini juga menandakan pencapaian penting apabila PruBSN meraikan ulang tahun ke-10 PruBSN Prihatin, badan kebajikan yang ditubuhkan untuk menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran hidup, kesihatan dan kesejahteraan, serta inisiatif bantuan bencana di seluruh Malaysia. Sejak penubuhannya pada tahun 2015, PruBSN Prihatin telah memberi impak positif kepada dalam kehidupan lebih 200,000 individu yang kurang bernasib baik melalui pelbagai inisiatif.



Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN dan Presiden PruBSN Prihatin, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, “Takaful dibina atas prinsip saling membantu, dan di PruBSN, kami percaya ia melangkaui perlindungan kewangan. Melalui PruBSN Prihatin, selama sedekad kami telah berusaha untuk memastikan bahawa komuniti yang kami santuni bukan sahaja dilindungi, tetapi juga diperkasakan kehidupan.”

"Ini termasuk PruBSN Microtakaful Jariyah (“PruBSN MTJ”), yang menyediakan perlindungan asas untuk pencari nafkah dalam komuniti B40 tanpa kos, dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri (“ICU JPM”) yang melanjutkan perlindungan selama setahun kepada lebih daripada 182,000 ketua isi rumah dari keluarga miskin dan miskin tegar yang berdaftar di bawah pangkalan data eKasih. 

Untuk tahun ini, kami menyasarkan 42,300 lagi penerima di mana pengagihan akan dilakukan secara berperingkat bermula Mac 2025. Fasa pertama adalah pada 15 Mac yang memberi manfaat kepada 6,000 penerima dari wilayah tengah."

"Selain itu, PruBSN telah secara aktif mempromosikan inisiatif cakna kewangan melalui Program Bijak Belajar dan Program Celik Kewangan, dengan melengkapkan lebih daripada 2,000 pelajar di 31 sekolah dengan pengetahuan kewangan asas untuk memupuk daya tahan kewangan dari usia muda," tambahnya.

Dalam usaha ke arah kelestarian jangka panjang, PruBSN tetap teguh dalam misinya untuk menghasilkan impak yang bermakna melalui amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan inisiatif yang didorong oleh komuniti. Dengan memupuk budaya Ta’awun, PruBSN berusaha untuk menegakkan nilai-nilai pertolongan bersama, ihsan, dan kemajuan kolektif. Aidilfitri ini, PruBSN menyatakan dedikasinya dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan mampan, di mana setiap individu mempunyai peluang untuk berkembang maju dan menyumbang kepada kebaikan bersama.