Terkini | New

Santunan Ramadan: Berbagi Kebahagiaan – Ptti Group Sdn. Bhd. Raikan Anak-anak Raudhatul Al-faeez

Santunan Ramadan: Berbagi Kebahagiaan – Ptti Group Sdn. Bhd. Raikan Anak-anak Raudhatul Al-faeez



PTTI Group Sdn. Bhd. telah menganjurkan program kebajikan Santunan Ramadan: Berbagi Kebahagiaan bagi meraikan anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Raudhatul Al-Faeez (RAF). Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyantuni mereka yang kurang bernasib baik, malah turut mengeratkan hubungan antara PTTI dengan komuniti setempat.


Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, seramai 26 anak-anak RAF berusia antara 3 hingga 17 tahun telah dibawa ke SOGO Kuala Lumpur untuk membeli pakaian raya, membolehkan mereka membuat persiapan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan. Majlis ini dimeriahkan dengan kehadiran duta PTTI, iaitu Iman Troye dan MK K-Clique semasa sesi membeli-belah.



Pengarah program ini merangkap Timbalan Naib Presiden Komunikasi Strategik, Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid berkata, “program ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan setiap tahun sejak penubuhan PTTI pada tahun 2015.

"Sebanyak RM10,000 telah disumbangkan untuk program ini, merangkumi pembelian kelengkapan hari raya bagi anak-anak RAF seperti pakaian, kasut dan sumbangan duit raya.” tambahnya.


Selepas sesi membeli-belah, anak-anak RAF turut diraikan dalam majlis berbuka puasa di Nando’s, SOGO Kuala Lumpur. Persembahan istimewa daripada Iman Troye dan MK K-Clique turut menambahkan keceriaan anak-anak RAF. Sebagai tanda penghargaan, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI Group Sdn. Bhd., Puan Siti Farhana Abu Osman dan Ketua Pegawai Operasi PTTI Group Sdn. Bhd., Encik Muhd Habibunajar Sazali turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak RAF.

PTTI Group Sdn. Bhd. merakamkan penghargaan kepada SOGO Kuala Lumpur atas layanan mesra sepanjang sesi membeli-belah, serta kepada Nando’s Malaysia kerana menyediakan hidangan berbuka puasa yang istimewa.

Melalui program Santunan Ramadan: Berbagi Kebahagiaan, PTTI terus komited dalam usaha menyebarkan kebaikan dan memberikan impak positif kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan. PTTI Group Sdn. Bhd. berharap agar inisiatif ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk terus berkongsi rezeki dan membawa kegembiraan kepada mereka yang kurang bernasib baik.