Terkini | New

U Mobile Bersiap Sedia Untuk Fasa Perkembangan Seterusnya Dengan Pelantikan Kenneth Chang Sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif

U Mobile Bersiap Sedia Untuk Fasa Perkembangan Seterusnya Dengan Pelantikan Kenneth Chang Sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif



U Mobile telah melantik Kenneth Chang, yang mempunyai 30 tahun pengalaman dalam industri ICT dan Internet, sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (DCEO), berkuat kuasa pada 28 Mac 2025.

Kenneth, yang berumur 52 tahun, merupakan seorang pengarah pengasas U Mobile. Beliau telah memainkan peranan besar dalam membentuk hala tuju strategik syarikat sejak penubuhannya, serta mempunyai peranan yang penting untuk memperoleh lesen 3G syarikat serta memacu trajektori perkembangannya. Dalam jawatan baharunya, beliau akan menyelia fungsi Kawal Selia, Strategi Perniagaan, Komunikasi dan Kelestarian. Beliau juga akan menerajui pengurusan pemegang taruh strategik bagi mengemudi persekitaran perniagaan syarikat yang dinamik, di samping terus berkhidmat sebagai Pengarah dalam lembaga U Mobile, jawatan yang dipegangnya sejak 2006. Kenneth juga telah berkhidmat dalam Jawatankuasa Eksekutif, Audit dan Imbuhan syarikat.

“Kami berbesar hati mengalu-alukan Kenneth sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile. Kenneth telah menjadi tunjang penting U Mobile sejak penubuhan syarikat dan memainkan peranan kritikal dalam perkembangan serta kemajuan syarikat. Pengalaman luas dan kepakaran beliau amat bermakna ketika U Mobile memasuki fasa perkembangan baharu sebagai bakal penyedia fasiliti rangkaian 5G berlesen”, kata Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile.

Kenneth juga merupakan Pengasas dan Pengarah Eksekutif Web Commerce Communications Limited dan Qinetics Solutions Sdn Bhd, masing-masing penyedia perkhidmatan internet terkemuka di rantau Asia Pasifik dan penyedia penyelesaian perusahaan. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Southampton, United Kingdom.

###

Mengenai U Mobile

Visi U Mobile adalah untuk menjadi rakan perkhidmatan digital pilihan utama Malaysia melalui inovasi yang sentiasa merealisasikan segala kemungkinan. Untuk mencapai visi ini, kami komited dalam menyediakan pengalaman sambungan berkualiti yang tiada tandingan dengan kelajuan 5G ultra-pantas tanpa sebarang caj tambahan. Kami percaya, sambungan berkualiti yang mudah diakses dapat merapatkan jurang digital, dengan memberikan rakyat Malaysia akses kepada kemahiran dan peralatan yang tepat untuk mencungkil potensi unggul mereka. Untuk maklumat lanjut mengenai U Mobile, sila layari www.u.com.my.